Nak ke Bangkok Naik Kereta Api KTM? Nah Kami Kongsi Itinerari Dengan Bajet RM835 Sahaja!

Kongsi Artikel Menarik Ini di:

Nak travel tapi bajet terhad? Sama juga dengan situasi penulis tapi selepas travel ke satu tempat ini, baru penulis tahu yang kita boleh mengembara ke luar negara dalam lingkungan bajet yang amat minimum serendah lapan ratus ringgit sahaja.

Sejarah Negara Gajah Putih

 

negara-gajah-putih-thailand-kakireview

 

Kerajaan Negara Thai atau nama rasminya Prathēt Thai ialah sebuah negara di Asia Tenggara yang bersempadan dengan Laos dan Kemboja di timur, Malaysia dan Teluk Siam di selatan, dan Myanmar dan Laut Andaman di barat. Negara Thai dahulunya dikenali sebagai Siam sehinggalah 11 Mei 1949. Perkataan Thai (ไทย) bermaksud “bebas” dalam bahasa Thai. Nama Siam masih digunakan di kalangan orang Thai terutama sekali minoriti Cina.

Percaya atau tidak, penulis telah travel dengan kos tak sampai RM1,000.00 pun untuk seorang. Oleh sebab penulis berasal dari Perak dan sukakan cabaran, penulis telah memilih untuk berkelana ke bumi Thailand dengan menaiki kereta api KTM. Best kot!

Route:

Ipoh – Butterworth – Padang Besar – Bangkok – Butterworth – Ipoh

Bajet (Seorang)

  • Bas (Ipoh-Butterworth) = RM 15.40 (Dewasa) (RM 30.80 Pergi & Balik)
  • Kereta api (Butterworth – Bangkok) = RM 112.00 ( RM 224.00 Pergi & Balik)
  • Simkad + Topup = RM 20.00
  • Penginapan di New Road Guest House (4 Hari 3 malam) = RM 125.00

Tiket Masuk ke Tempat Lawatan:

  • Grand Place + Vimanment Mansion= 400 Baht (RM 48.00)
  • Wat Arun = 50 Baht (RM 6.00)
  • Wat Po = 100 Baht ( RM 12.00)
  • Pasar Terapung = Lingkungan 200 Baht (RM 24.00)
  • Chatuchak Market (Bergantung kepada individu) = RM 96.00

Kos Pengangkutan (teksi) + makan =  RM 250.00 (terdapat perubahan kepada bajet mengikut individu dan bergantung kepada saiz badan. Gurau je! 😀 )

___________________________________________

Jumlah Bajet                   =         RM 835.80

___________________________________________


Hari 1

Bertolak dari Ipoh ke Terminal Aman jaya pada jam 11:00 pagi. Jadual bas dari Ipoh ke Butterworth adalah pada jam 12:15 tengah hari.

Kemudian, penulis tiba di Butterworth dalam lingkungan 5:00 petang, Berjalan kaki ke KTM dan menaiki kereta api ke Bangkok dalam pukul 7 malam.

Perjalanan dari Butterworth ke Bangkok mengambil masa 23 jam (kematu penulis! Tapi jangan risau tempat tidur disediakan). Walaupun penat tapi kebarangkalian berjumpa dengan pelancong luar negara sangat tinggi. Penulis telah berjumpa dan beramah mesra dengan pelancong dari Jepun dan Amerika (Hensem bak hang!)

vchatuchak-market-thailand-kakireviewcom

Tips KakiReview: Penulis menasihatkan agar anda tidak membeli makanan dalam kereta api kerana harganya mahal dan status halalnya adalah diragui.

Hari 2

Tiba di Bangkok dan terpaksa berjalan kaki sejauh 2 km dari Hua Lamphong Train Station ke tempat penginapan iaitu New Road Guest House yang terletak di  Charoen Krung Rd, Bang Rak, Bangkok.

Penulis dan beberapa orang ahli keluarga mendaftar masuk ke dalam New Road Guest House sekitar jam 6 petang waktu tempatan.

new-road-guest-house-thai

(Tempat penginapan penulis)

Tempat penginapan ini memberikan khidmat Rustic Wi-Fi percuma, loker dan bilik mandi jenis berkongsi. Terdapat bilik-bilik private yang menawarkan kemudahan peralatan seperti TV, bar mini, penyaman udara dan / atau kipas serta kopi dan teh percuma. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah restoran masakan Thai dan Barat, ruang TV dan bar, serta teres atas bumbung dengan buaian (hammock).

Penulis dan ahli keluarga hanya melepaskan lelah dan merangka jadual untuk esok. Tiada aktiviti utama yang penulis dapat senaraikan di hari kedua ini.


Hari 3

 

Lawatan ke Grand Palace – Wat Arun – Silom Night Market.

Penulis bangkit dengan perasaan yang berkobar-kobar untuk menjelajah bumi gajah putih ini. Oleh kerana penulis travel pada bulan Disember, suasana di sini sangat sejuk dan penulis serta ahli keluarga terpaksa menyarung sweater untuk menghangatkan badan.

Penulis dan ahli keluarga menaiki teksi untuk ke Grand Palace yang terletak kira-kira 8 km dari tempat penginapan. Perjalanan mengambil masa selama 35 minit dengan tambang sebanyak RM35.00.

grand-palace bangkok thailand

Sedikit fakta mengenai Grand Palace – ia dibina pada tahun 1782, dan merupakan sebuah istana besar yang menjadi kediaman diraja dari generasi ke generasi dan masih digunakan untuk upacara penting yang disertai ketua-ketua negara. Pelawat dikehendaki berpakaian sopan ketika melawat Grand Palace.

Selepas menghabiskan masa selama 3 jam di Grand Palace dan makan tengah hari  pada pukul 12:30 tengah hari di sebuah kedai muslim, penulis dan ahli keluarga yang lain meneruskan perjalanan ke Wat Arun. Perjalanan mengambil masa selama 20 minit. Penulis dan ahli keluarga yang lain memilih untuk berjalan kaki kemudian menaiki feri untuk ke destinasi yang hanya sejauh 1.1 km dari Grand Palace.

wat-arun-bangkok-tempat-menarik-bercuti-thailand

Tempat ini walaupun  tidak besar, namun memberikan kepuasan yang tidak terhingga saat pelancong tiba di puncaknya. Hati-hati semasa menaiki tangga ke puncak kerana tangganya cukup curam. Tapi setelah sampai di atas, pemandangannya setanding dengan pengorbanan yang diberikan. Bak kakata Miley Cyrus, “It’s not about the climb. It’s the view that matters”.

Penulis dan keluarga menghabiskan masa selama 3 jam 30 minit untuk melawat dan bergambar di sekitar Wat Arun ini. Kemudiannya, kami membuat keputusan untuk pulang ke rumah dengan menaiki teksi tumpangan bagi menunaikan solat jamak Zuhur dan Asar dan berehat.

Tepat jam 7 malam, penulis dan ahli keluarga berpeluang menjelajah sebuah pasar malam yang terdapat di Bang Rak iaitu Silom Night Market hasil daripada maklumat yang diperoleh daripada penduduk tempatan. Tidak lengkap sesuatu lawatan itu jika anda tidak mencuba makanan yang terkenal dan sedap. Anda tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk mencari tempat yang menyediakan makanan lazat seperti daging dan ikan panggang, sup, buah-buahan segar dan pelbagai hidangan lain di pasar malam ini. Jika anda berkunjung ke sini, jangan terbeli lipas goreng pula!

 

silom-night-market-bangkok


Hari 4

 

Wat Po – Pasar Terapung

Hari kedua di Thailand kami berpeluang menjejakkan kaki di Wat Po atau Wat Pho. Perjalanan dari Bang Rak ke Wat Po mengambil masa selama 30 minit dan kali ini kami tetap menggunakan khidmat teksi iaitu sebanyak RM 35.00 satu perjalanan.

Wat Po juga dikenali sebagai Kuil Buddha Berbaring dengan panjang 46 meter dan tinggi 15 meter. Sangat sukar untuk mengambil foto secara keseluruhan. Penulis dan keluarga menghabiskan masa selama 4 jam untuk melawat keseluruhan kawasan. Di dalam kawasan Wat Po ini terdapat beberapa bangunan lain antaranya ialah ‘Medicine Pavilion’, ‘Chedi Rai’, ‘Prang’ dan beberapa tempat lain lagi.

wat-pho-kuil-thailand-bercuti

Wat Po

wat-po-medicine-pavilionMedicine Pavilion

"Chedi Rai" wat poChedi Rai

Selepas itu penulis bergerak ke satu tempat yang sangat popular di kalangan pelancong iaitu Pasar terapung. Pasar terapung terletak kira-kira 15 km daripada Wat Po dan mengambil masa kira-kira 35 minit untuk sampai ke destinasi.

bangkok-floating-market-pasar-terapung

 

Populariti pasar terapung lnl pernah menyebabkan Bangkok mendapat gelaran “Venice of the East”. Di sini anda boleh mendapatkan pelbagai makanan tempatan yang segar dan lazat dengan harga berpatutan.


Hari ke 5

 

Chatuchak Market

Hari terakhir di Thailand (Aduh, dah nak balik dah..sob..sob..sob), kami mengambil keputusan untuk membeli sedikit cenderahati sebelum pulang ke Malaysia kembali. Terus, kami menerjahkan diri ke Chatuchak Market. Kami bernasib baik kerana berpeluang mengenali pasar ini kerana ia hanya dibuka pada hari minggu sahaja.

chatuchak-market-thailand-kakireviewcom

Pasar Chatuchak adalah pasar yang terbesar di Thailand dan juga dikenali sebagai JJ Market. Ia mempunyai lebih daripada 8,000 gerai, dibahagikan kepada 27 bahagian. Chatuchak Market menjual sembilan jenis barangan termasuk pokok semaian, barangan antik, haiwan peliharaan, makanan dan minuman (segar dan makanan kering), seramik, perabot dan hiasan rumah, pakaian, dan buku-buku.

Selepas 3 jam berpusing di sekitar pasar, penulis dan keluarga pulang semula ke tempat penginapan untuk mengemas barang dan bersiap sedia untuk checkout dari rumah tumpangan. Selepas mendaftar keluar, kami menaiki teksi untuk ke Hua Lamphong Train Station dan tiba di Butterworth keesokan harinya.

Sebaik sahaja tiba di Butterworth, penulis dan ahli keluarga menaiki bas untuk pulang ke Ipoh semula.

Tamat Siri Pengembaraan Penulis di Bangkok

 

Catatan Penulis: Walaupun penat tapi penulis tetap berpuas hati. Penulis dapat travel dengan kos yang tidak sampai RM1000 kerana penulis tidak berbelanja di sana kerana penulis berpendapat barangan di Thailand dan Malaysia tidak banyak bezanya. Namun apa yang paling penting adalah pengalaman, bukannya buah tangan. Penulis ingin tekankan sekali lagi bahawa mungkin terdapat perubahan kos pengangkutan dan tiket masuk ke tempat menarik di Thailand (seperti yang ditunjukkan di atas) kerana ini merupakan perbelanjaan 3 tahun lepas (tahun 2013). Akhir kata, terima kasih kerana sudi membaca dan “selamat bercuti”!

Facebook Comments
Kongsi Artikel Menarik Ini di:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Inline
Inline