Pelan internet di Malaysia amat terkenal dengan harga yang mahal namun dengan kuota internet yang kecil dan kelajuan sepantas siput yang bertongkat. Namun kehadiran syarikat Webe Digital dengan pakej All-In Unlimited (Data+SMS+Panggilan) buat pengguna terangkat pinggul, terkejut beruk, ibarat mendapat BR1M tanpa hantar permohonan!
Harus diingat. Penulisan ini tidak berbayar dan tidak dibiayai oleh pihak Webe dan ditulis sewaktu masih dalam promosi pakej RM79 sebulan. Ini merupakan ulasan amatur tapi jujur mengenai servis internet dari anak syarikat Telekom Malaysia ini yang dulu pernah dikenali sebagai P1 (Green Packet Sdn. Bhd). Sudah potong ka?
Pelan Tak Pening Kepala Dan Berbaloi-Baloi
Tidak perlu diulas panjang, pelan ini dibuat dengan simple dan tanpa rasa ragu-ragu. Sebagai salah seorang pengguna yang telah menggunakan pakej Webe ini selama 3 bulan (Januari – March 2017), setakat ini tiada caj tambahan atau bill shocker yang penulis terima. Memang semua panggilan tempatan dan SMS kepada semua talian adalah RM0.00, dengan kata lain percuma, sedangkan segelas air suam mamak pun dicaj 20 sen!
Ini adalah unique value proposition dari Webe:
Lihat sajalah di atas, mereka berani mengatakan bahawa pelan internet mereka takkan habis (never-ending) dan ia adalah benar. Setakat ini, data internet penulis tidak pernah disekat, atau diperlahankan sebagaimana telco Maxis, Celcom, UMobile dan Digi akan lakukan sekiranya anda telah kehabisan kuota. Kelajuan internet anda akan diperlahankan ke tahap 64kbps, dimana nak google ‘Bila BRIM masuk’ pun tidak lepas! Digi lebih teruk dimana penggunaan Whatsapp juga tidak dibenarkan selepas tamat kuota.
Penulis pernah menggunakan 2 servis Mobile Postpaid dari 2 syarikat telekomunikasi gergasi di Malaysia. Pada harga RM80, Celcom menawarkan pelan internet Celcom First Gold 10GB dan panggilan + SMS percuma semua rangkaian, namun akibat tiada signal telefon dan internet di dalam bangunan penulis bekerja iaitu di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, penulis terpaksa membuat pilihan untuk beralih kepada Digi. Liputan dan kelajuan Digi memang bagus namun kelajuan itu membunuh! Dengan kuota 10GB pada RM50 sebulan, 100 minit panggilan dan 100 sms percuma, kelajuan internet 4G LTE Digi menyebabkan data 10GB itu tahan seminggu dua sahaja. Sadis!

Pelan postpaid Digi 2017
Memang Betul Ke Unlimited? Tiada Agenda Tersembunyi?
Penulis taknak cakap kosong tanpa sebarang black-and-white. Untuk memudahkan pemahaman pembaca, sewaktu anda menempah sim kad, anda dikenakan bayaran advance RM106 termasuk GST dan harga asal pakej ini ialah RM199. Maka harga asal akan di pamerkan di dalam bil dan disertakan dengan diskaun RM120.00 sepanjang hayat.
Berikut adalah bil bulan Januari yang penulis terima:
Nota:
- Penulis melanggan pada 4 Januari 2017. Bil adalah sehingga 31 Januari 2017, maka bayaran telah di pro-ratakan daripada RM199 kepada RM179.74 sahaja.
- Webe mengenakan caj advance untuk bulan Februari sebanyak RM199 dan diberikan diskaun (RM120.00) pada masa yang sama, menjadikan harga pakej RM79.00 sahaja
Berikut adalah bayaran deposit RM106.00 yang telah penulis buat:
Maka, bayaran bersih yang perlu dibuat ialah RM150.35 – RM106.00 = RM44.35 sahaja dan bayaran ini sudah termasuk untuk bil bulan Februari sekali. Maka, 2 bulan bil sudah settle!
Tempoh Promosi Pelan Internet Webemobile RM79/bln
Penulis mendapat tahu mengenai pakej RM79 ini melalui iklan di Facebook dan ketika itu promosi sehingga hujung Januari 2017. Namun, pada awal Februari mereka mengumumkan untuk melanjutkan promosi itu sehingga 12 Februari 2017.
Namun, tinjaun penulis ke laman web mereka masih menawarkan pakej tersebut (setakat 5 March 2017) pada harga yang sama dan tidak dapat dipastikan bila promosi ini akan ditamatkan.
Cara Melanggan Pakej Webe Unlimited
Penulis telah membuat langganan melalui online di laman rasmi syarikat mereka iaitu webe.com.my. Anda boleh memilih untuk mendapatkan nombor telefon baru atau kekalkan nombor lama anda (MNP port-in). Penulis telah memilih untuk port-in tanpa sebarang caj. Anda perlu menunggu pengesahan dari telco lama anda. Jika Digi, anda perlu balas “Y” untuk SMS yang dihantar pada waktu yang ditetapkan supaya anda boleh berpindah kepada telco baru.
Bayaran boleh dibuat secara online melalui kredit kad atau kad debit dan juga online banking (Maybank2u, CimbClicks etc.). Bayaran pendahuluan ialah RM106.00 termasuk GST untuk 1 line.
Jika tempahan online, sim kad anda akan dihantar secara kurier ke alamat anda. Mengikut pengalaman penulis, penghantaran dalam masa satu hari sahaja di Kuala Lumpur. Setelah mendapat sim kad, anda perlu ikut arahan setting APN yang diletakkan dalam pek sim kad tersebut.
Anda juga boleh walk-in ke kedai rasmi mereka di bawah:
Keluasan Rangkaian Webe – Network Coverage
Orang kata, kalau internet unlimited pun kalau line tiada, tak guna juga. Memang betul! Masa penulis berpindah dari Celcom ke Digi dan kemudiannya ke Webe, penulis agak gusar sekiranya network coverage Webe ini tidak meluas. Namun, setelah 3 bulan menggunakan Webe, ini adalah komen penulis:
- Tidak sepantas Usain Bolt atau Digi & Maxis tapi jauh lebih baik dari Celcom dan UMobile.
- Kelajuan internet di Kuala Lumpur adalah memenuhi keperluan walaupun adakalanya sedikit perlahan untuk beberapa ketika.
- Streaming Youtube tiada masalah, tidak sangkut atau buffering terlalu lama, pada kualiti 480p.
- Untuk pengguna telefon bimbit 4G LTE, jika line tidak stabil digalakkan untuk guna setting network mode WCDMA only.
- Permainan online seperti Mobile Legend – Pada mulanya permainan agak lagging tapi bila tukar setting daripada LTE/WCDMA/GSM (auto connect) kepada WCDMA only, permainan tidak lagi lagging dan boleh membunuh hero lain sehingga Quadra-Kill dan ACE (Jika anda pemain Mobile Legend, anda akan faham 🙂 )
- Perjalanan menaiki bas dari TBS ke utara tanah air, coverage sepanjang lebuhraya PLUS dan tiada coverage di sesetengah tempat seperti di kawasan berbukit menuju Terowong Menora, Perak.
- Internet berkelajuan tinggi di Wangsa Maju, Setiawangsa, Setapak, Chow Kit, Medan Tuanku, KL Sentral, Petaling Jaya, Melaka, Taiping, Bagan Serai, Bukit Merah, Pulau Pinang, dan Ipoh (setakat pemerhatian penulis). Tidak dapat dipastikan kelajuan di pantai timur dan Sabah & Sarawak.
- Jika di luar rangkaian Webe, mereka akan menumpang pada rangkaian Celcom.
Contoh SpeedTest untuk line Webe di Setiawangsa, Kuala Lumpur (Not bad huh?):
Berikut adalah cara untuk tukar Network Mode (Pengguna Samsung – Android Lollipop) jika line internet anda tidak stabil – kejap ada kejap putus:
- Settings > Connection > More Networks > Mobile Networks > Network Mode > WCDMA only
Tambah Line untuk Anak Bini – Supplementary Line
Oleh kerana penulis berpuas hati dengan servis dan harga pakej webemobile ini, penulis telah menambah satu lagi line pada harga RM69 sahaja. Namun, seperti biasa, bayaran pendahuluan adalah RM106 dan harga pakej asal tetap ditulis RM79.00 pada bil supp. line tadi dan akan didiskaunkan sebanyak RM10 menjadikan ia RM69 (tidak termasuk GST) sahaja.
Jika daftar satu keluarga, lebih jimat sebab 3rd line RM59 dan 4th & 5th line RM49 sahaja.
Segala urusan mengenai akaun dan pembayaran boleh di buat sendiri secara atas talian di laman web Webe.
Khidmat Pelanggan Dan Sokongan
Kebiasaannya, syarikat telco akan mempunyai pusat khidmat pelanggan atau call center yang boleh dicapai melalui telefon namun tidak untuk Webe. Tiada nombor telefon yang boleh digunakan untuk melaporkan sebarang masalah. Pelik bukan! Mungkin ini salah satu cara menjimatkan kos pengurusan supaya penjimatan ini dapat dipulangkan semula kepada kita sebagai pengguna.
Namun, anda masih perlukan khidmat sokongan dari mereka sama ada mengenai bil anda, akaun anda dan juga nasihat teknikal. Maka, Webe mengenalkan khimat Live Chat untuk anda berkomunikasi secara terus kepada pegawai mereka secara atas talian seperti di bawah:
Setakat ini segala masalah penulis dapat dijawab oleh pegawai mereka dan walaupun bukan on-the-spot tetapi mereka akan follow-up dengan emel nanti. Anda juga boleh menghantar tiket melalui borang online mereka atau terus walk-in ke kedai mereka.
Kelemahan dan Kekurangan Pelan Webe
Ada satu kelemahan yang cukup-cukup penulis rasakan kehilangan itu – iaitu ketiadaan sokongan Mobile Hotspot. Dengan kata lain, anda tidak boleh kongsikan internet anda pada device anda yang lain dan juga kepada rakan-rakan secara percuma. Mengapa? Sebab Webe mengenakan caj sebanyak RM6 untuk 2 jam hotspot.
Walaupun penulis ada cara untuk mengatasi masalah hotspot ini dengan menggunakan satu applikasi mudah-alih, tetapi penulis tidak rasa ini adalah sesuatu yang beretika. Webe telah memberikan pelan internet UNLIMITED untuk kegunaan smartphone anda pada harga RM79 sebulan yang tidak terdapat pada mana-mana telco di Malaysia ketika penulisan ini dibuat. Jika anda masih meminta untuk dapat HOTSPOT, anda adalah ibarat diberi betis, hendak drumstick dan thigh dengan cheese lagi. Tak patut. Ini adalah model bisnes mereka.
Konklusi
Bagi penulis, ini adalah penawaran terhebat ketika ini, melainkan telco lain boleh memberikan pakej unlimited yang sama pada harga lebih rendah. Setakat ini penulis boleh layan Youtube sampai muntah, sampai tertidur tak tutup data. Memang syok. Siapa minat Netflix atau Tonton, memang jenuh melayan movie dan drama. Okay, itu sahaja perkongsian jujur penulis, tulis panjang-panjang siapa nak baca? Haha.
Sebarang pertanyaan dan perkongsian mengenai kelajuan dan servis Webe, sila tinggalkan diruang komen di bawah. Komen murni-murni sahaja ya 🙂