Laut luas terbentang berombak tenang. Hujungnya bagai bercantum bersama kaki langit yang mula bertukar cerah tanda matahari hendak keluar. Berjalan berkaki ayam meranduk air digigi pantai sambil tangan erat menggenggam tangan yang tersayang. Dua anak kecil sedang ketawa mengekek berlari jatuh dan bangun sambil menyapu pasir halus pantai yang melekat dibadan. Bebas tiada batas. Beberapa penghuni penginapan berhampiran juga nampak sudah keluar mungkin mencari sarapan atau beriadah di taman yang berdekatan. Di atas lautan kelihatan beberapa biji sampan kecil nelayan teroleng-oleng dengan sabar menunggu hasil tangkapan mencari rezeki dari laut ciptaan tuhan. Sesekali bayu pagi yang membawa hawa masin air laut menampar perlahan di wajah. Angin yang sama turut menggoyangkan daun-daun pohon-pohon kelapa seperti melambai. Tanaman itu tumbuh berderet seakan-akan memagar sekeliling pulau.
Terleka seketika menikmati keindahan alam. Meninggalkan sementara semua yang menjadi bebanan. Kerja, kehidupan harian, tanggungjawab semuanya sudah lenyap terbang ke awan. Suasana tenang dan damai ini jarang sekali muncul berdepan. Kesempatan yang ada ini digunakan sebaik mungkin. Udara nyaman dihirup panjang lagi dalam bagi mengisi paru-paru ruang pernafasan. Penglihatan seolah-olah merakam kesemua pemandangan untuk disimpan dalam fail ingatan. Apabila diri bersatu dengan alam dan hampir dengan orang-orang tersayang suatu energi yang bersifat segar mula timbul dalam rohani dan jasmani. Itulah elemen penting yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan. Jasad perlukan rehat rohani perlukan semangat.
Kerana itu lah bercuti itu sudah menjadi sebahagian keperluan dalam kehidupan. Bukan lagi lambang kemewahan simbol kekayaan tapi keperluan setiap insan tanpa hisab kedudukan. Berusahalah menabung mengikut kemampuan berbelanjalah untuk sebuah percutian idaman kerana ia membantu mengeratkan perhubungan kekeluargaan dan menambah pengalaman.
Selamat bercuti…