Anda pernah dengar cerita mengenai Bughats? Bughats ini kategori apa sebenarnya? Manusia? Haiwan atau makhluk halus? Errr…
Baiklah, Bughats atau nama manjanya anak burung Gagak, merupakan seekor haiwan kerdil yang mengajar kita bagaimana untuk yakin dengan pemberian Allah Taala atau dengan kata lain, kisah anak burung kecil yang bernama Bughats ini sebenarnya dapat menguatkan lagi keimanan kita untuk yakin bahawa selama ini Allah lah yang memberi kita rezeki, bukannya harta, bisnes atau pangkat yang kita pegang selama ini.
Sebagaimana yang kita tahu, warna bagi burung gagak yang sudah dewasa berwarna hitam, namun ketika masih kecil yakni di saat ia menetas, warnanya bukan hitam sebaliknya berwarna putih! Hal ini kerana tubuh badannya belum lagi ditumbuhi oleh bulu-bulu yang berwarna hitam. Oleh yang demikian, ‘ibu bapanya’ meminggirkan anak mereka itu kerana tidak ‘sebulu’ dengan mereka. Lalu, bagaimanakah dengan nasib anak burung gagak ini? Siapakah yang akan memberi makan kepadanya? Siapakah yang akan menjaganya setiap masa? Siapa lagi kalau bukan Yang Maha Pemberi Rezeki!
Seusai menetas, Allah Taala telah menciptakan satu aroma istimewa yang melekat pada tubuh si Bughats ini. Aroma ini berfungsi untuk memanggil serangga-serangga, ulat-ulat dan seumpamanya untuk datang kepadanya dan serangga-serangga inilah yang menjadi makanan buatnya. Ia tidak perlu bersusah payah untuk mencari alas perutnya kerana aroma yang ada pada tubuhnya sudah cukup untuk menyeru rezeki datang kepadanya.
Keadaan ini berterusan sehinggalah anak burung gagak ini semakin membesar iaitu apabila bulu-bulu yang berwarna hitam mulai tumbuh secara perlahan pada tubuh badannya dan dalam masa yang sama, aroma yang ada pada tubuhnya itu mula menghilang sedikit demi sedikit. Apabila berlakunya demikian, maka di saat itulah ‘ibu bapanya’ mula ingin menjaganya dan memberi makan kepadanya sehinggaalah anaknya itu mampu terbang dan mencari makan sendiri.
Hebat bukan kisah ini? Mengajar kita bahkan mungkin menyedarkan kita bahawa rezeki itu sebenarnya datang daripada Allah Taala. Oleh sebab itulah, ulama’ sentiasa berpesan kepada kita supaya mengamalkan doa yang terselit nama Bughats ini dalam kehidupan seharian kita
“اَللَّهُمَّ ارْزُقْنَا كَمَا تَرْزُقُ البُغَاثً”
“Ya Allah, berilah kepada kami rezeki sebagaimana Engkau memberi rezeki kepada Bughats”