BERHENTI ATAU TERUSKAN? IKUTI 6 TIPS BERTAHAN DI TEMPAT KERJA
Setelah tamat melayari tempoh pengajian yang panjang di universiti , setiap mahasiswa sudah pastI teruja untuk beroleh kerjaya yang setaraf dengan kelulusan masing-masing. Bertarung dengan pelbagai ujian, berusaha untuk mendapat pointer terbaik serta terkejar-kejar mencari bahan kajian di perpustakaan adalah pengorbanan yang perlu dibayar demi memperolehi sekeping sijil yang bakal mencorak masa depan . Bukan sekadar memasang angan-angan kosong, segala persiapan memburu pekerjaan sudah diatur ketika masih di semester akhir pengajian. Resume ditaip kemas , sijil-sijil disusun rapi, setiap laman web carian kerja diselongkar juga tidak ketinggalan praktikal menjawab soalan-soalan temuduga. Namun begitu, lambakan graduan di luar sana telah mencetuskan persaingan sengit memburu kerjaya . Natijahnya ramai yang terjerumus dalam kancah pengangguran.
Maka, mahu tak mahu apa sahaja peluang kerja perlu direbut memandangkan hutang pengajian perlu dilunaskan. Meskipun skop tugas jauh tersasar dari bidang kelulusan, dalam waktu ini sudah tiada ertinya lagi mengusung pointer tertinggi dan resume panjang berjela serta angan-angan memegang gaji beribu-ribu . Bukan mudah untuk menyesuaikan diri di tempat kerja baru apatah lagi bagi yang langsung tiada pengalaman berkerja. Ada yang dapat bertahan dan ada juga yang tumpas di tengah perjuangan menggali pengalaman. Ikuti 6 tips dibawah untuk kekal bertahan di tempat kerja:
1. BINA MINAT
- Dalam apa jua yang dilakukan perlulah diiringi dengan minat yang mendalam . Tunjukkan minat dan kesungguhan dalam setiap tugasan yang diberikan disamping mempraktikkan kemahiran asas yang diperoleh semasa menjalani praktikal di universiti dahulu.
2. FAHAMI ETIKA DAN BUDAYA KERJA.
- Dua perkara penting ini pasti akan diterangkan oleh majikan semasa sesi temuduga agar calon faham dan akan patuh terhadap undang-undang yang ditetapkan pihak syarikat. Contohnya dilarang menggunakan telefon bimbit semasa waktu kerja . Pastikan disiplin dijaga seiring dengan pelaksanaan etika dan budaya kerja yang baik sepanjang waktu bekerja untuk kekal lama dan disenangi oleh majikan serta rakan sekerja.
3. TOLAK ANSUR
- Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragamnya. Sentiasa bersikap professional dengan memahami sikap , kelemahan dan kelebihan setiap rakan sekerja dan ketua. Cubalah bertolak ansur dalam menerima kepelbagaian pendapat dan tolong-menolong dalam pekerjaan.
4. PRODUKTIF DAN PROAKTIF.
- Asah kemahiran lama dan sentiasa aktif dalam memajukan diri dari segi aspek disiplin dan kepelbagaian tugas. Semangat sentiasa mahu belajar perkara baru perlu ada dalam aspek membina kemahiran multi tasking dalam diri pekerja.
5. TANAMKAN SIFAT BERTANGGUNGJAWAB
- Setiap manusia akan dipertanggungjawabkan atas apa yang mereka lakukan. Dalam memikul beban dan amanah yang diberi majikan, setiap pekerja perlu ada sikap bertanggungjawab terhadap tugasan yang perlu diselesaikan dengan melaksanakannya secara berkualiti dan bersungguh-sungguh. Hal ini akan melahirkan hasil tugasan bergred cemerlang dan menepati kehendak pihak majikan.
6. BERTERUS TERANG
- Jangan pendam jika berhadapan dengan masalah dalam melaksanakan tugas. Ketua dan rakan sekerja adalah tempat rujukan yang tepat untuk bertanya jika ada tugas yang kurang mahir atau tidak difahami.
Kehidupan semasa bekerja jauh berbeza dengan kehidupan semasa menuntut di universiti. Dalam bidang pekerjaan segala cabaran perlu dihadapi dengan tenang , sabar dan cekal. Jika kita mahu berjaya ketepikanlah rasa putus asa dan teruslah memandang cabaran dan masalah sebagai guru yang tak pernah lelah membina pengalaman.