Kenali Penyakit Mata : Glaukoma

Kongsi Artikel Menarik Ini di:

Pandangan-Mata-Glaukoma-copy-1024x402

Apa itu Glaukoma?

Glaukoma adalah penyakit mata yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan. Ia biasanya berlaku apabila bendalir semakin banyak di dalam mata yang menyebabkan peningkatan tekanan. Ia juga dapat merosakkan saraf optik. Orang yang mempunyai glaukoma akan kehilangan penglihatan tepi mereka secara perlahan-lahan. Tanpa rawatan, mereka mungkin kehilangan penglihatan mereka sepenuhnya. Di seluruh dunia, didapati bahawa glaukoma merupakan penyebab kebutaan kedua tertinggi. Dianggarkan terdapat 4.5 juta pesakit menjadi buta disebabkan oleh penyakit glaukoma. Jumlah ini akan meningkat kepada 11.2 juta pada tahun 2020.

 

Punca & Faktor Risiko

Apakah yang menyebabkan Glaukoma?

Biasanya, cecair di dalam mata anda akan menyuburkan mata dan menjadikan ia sihat. Selepas cecair mengalir melalui mata, ia mengalir melalui longkang di hadapan mata anda. Pada orang yang mempunyai glaukoma, cecair tidak dapat mengalir dengan betul. Sebaliknya, ia menyebabkan tekanan meningkat di mata. Tekanan ini merosakkan saraf optik dan menyebabkan kehilangan penglihatan.

 

Siapa yang berisiko mendapat Glaukoma?

Glaukoma boleh menyerang sesiapa sahaja. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang berkait rapat dengan peningkatan risiko  untuk menghidapi glaukoma. Antara faktor risiko adalah seperti berikut :

  • Usia : Berumur 40 tahun ke atas (Semakin meningkat usia, semakin berisiko)
  • Bangsa : Keturunan African dan Cina
  • Mempunyai ahli keluarga yang menghidapi glaukoma
  • Tekanan bola mata yang melebihi tahap normal iaitu melebihi 22 mmHg (Hipertensi ocular )
  • Rabun jauh (miopia)
  • Menghidapi tekanan darah tinggi
  • Menghidapi kencing manis
  • Menghidapi migrane
  • Menggunakan ubat mengandungi steroid secara berterusan (sama ada topikal mahupun sistemik)

 

Jenis dan Gejala Glaukoma

Glaukoma Sudut Tertutup

Gejala-gejala bagi glaukoma sudut tertutup adalah seperti berikut :

  • Sakit pada bola mata.
  • Kabur penglihatan mata yang yang mengalami glaukoma.
  • Mata menjadi merah.
  • Sakit kepala.
  • Mual dan muntah.
  • Tekanan bola mata yang meningkat.

 

Peningkatan tekanan bola mata terjadi akibat daripada sistem pengaliran cecair dalam mata tersumbat. Kebanyakan pesakit yang menghidapi glukoma jenis ini mempunyai struktur dalaman mata yang berbeza dari struktur normal. Doktor mata boleh mengesan struktur yang tidak normal dengan melakukan pemeriksaan mata sebelum berlaku serangan glukoma akut agar rawatan pencegahan dapat dilakukan.

 

Glaukoma Sudut Terbuka

Glaukoma jenis sudut terbuka mengalami gejala kehilangan penglihatan secara perlahan dan tidak sakit yang mungkin tidak disedari oleh pesakit. Oleh itu, saringan bagi mengesan glaukoma adalah penting terutama bagi seseorang yang mempunyai ahli keluarga yang menghidapi glaukoma. Gejala-gejala bagi glaukoma sudut terbuka adalah seperti berikut :

  • Selalunya tiada tanda-tanda sehingga glaukoma di tahap yang serius.
  • Kehilangan penglihatan yang perlahan dan berterusan.
  • Pengecutan medan penglihatan.
  • Peningkatan tekanan bola mata.
  • Peningkatan nisbah cup disc (menunjukkan kerosakan pada saraf optik).

 

Rawatan

Tujuan utama rawatan adalah untuk mengekalkan penglihatan. Rawatan ini dapat membantu menurunkan tahap tekanan mata sama ada membolehkan pengaliran cecair keluar dari bola mata atau mengurangkan pembentukan cecair oleh tisu mata. Beberapa bentuk rawatan adalah seperti berikut :

 

Ubat-ubatan

Glaukoma biasanya dirawat dengan ubat-ubatan seperti ubat titis mata, pil atau suntikan. Ubat-ubatan perlu diambil seperti yang ditetapkan oleh pakar optik. Oleh kerana glaukoma tidak menunjukkan gejala, anda mungkin terlupa mengambil ubat anda. Walaupun begitu, anda tetap perlu menggunakan ubat titis mata atau pil secara berkala untuk membantu mengawal tekanan di mata anda. Apabila ubat titis mata, pil atau suntikan tidak membantu melegakan tekanan, anda mungkin memerlukan rawatan lain.

 

Rawatan laser

Rawatan laser boleh dilakukan untuk jenis glaukoma seperti sudut tertutup dan juga sudut terbuka. Rawatan ini adalah tidak menyakitkan. Bagi glaukoma sudut tertutup, laser sering dilakukan bagi menghindarkan berlakunya serangan akut dengan melakukan lubang pada iris untuk menggalakkan pengaliran cecair dalam bola mata. Bagi kes glaukoma sudut terbuka, laser dilakukan apabila ubat-ubatan tidak dapat mengawal tekanan mata.

 

Rawatan pembedahan

Pembedahan melibatkan penciptaan saluran baru untuk membolehkan cecair keluar dari mata. Sekiranya rawatan dengan ubat-ubatan dan rawatan laser tidak lagi berkesan, rawatan ini akan digunakan untuk mengawal tekanan mata pada tahap yang diperlukan.

 

 

Facebook Comments

Artikel Viral Menarik Yang Anda Belum Baca:

Kongsi Artikel Menarik Ini di:

Leave a Reply

Inline
Inline