INI SEBAB KENAPA RAKYAT KITA BERMINAT UNTUK BEKERJA DI SINGAPURA

Kongsi Artikel Menarik Ini di:

jawatan-kosong-singapore

Walaupun kecil, Singapura adalah antara 4 negara terbesar ekonomi di Asia. Singapura dikategorikan antara negara terbaik dari segi undang-undang pelindungan harta intelek yang bermaksud pembangunan ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan diberi perhatian serius. Ini menyebabkan ramai pekerja profesional muda berminat untuk bekerja di negara ini.  

  

Selain itu, para usahawan dari pelbagai negara amat dialu-alukan untuk membuka perniagaan mereka bagi menyumbang pembangunan ekonomi. Google dan Microsoft antara syarikat global yang mempunyai ibu pejabat serantau yang terletak di Singapura. 

Satu tinjauan yang dibuat oleh Kementerian Tenaga Kerja Singapura pada tahun 2018, menunjukkan 9 daripada 10 pekerja asing berpuas hati dengan persekitaran kerja di Singapura. Antara penyebab utama pekerja asing mencari peluang pekerjaan di Singapura ialah gaji yang tinggi, kualiti hidup, dan jaminan keselamatan. 

  

Namun, seperti kebanyakan negara maju lain Singapura menghadapi masalah penurunan kadar kelahiran yang menyebabkan tenaga kerja asing amat diperlukan untuk menampung beberapa sektor penting. Kebanyakan pekerja luar ini, berulang alik dari Malaysia untuk bekerja di Singapura. 

  

 kita akan melihat kenapa  rakyat kita suka sangat bekerja di Singapura. 

  

Statistik 

Walaupun terdapat pekerja asing yang berhijrah dari golongan profesional yang bergaji tinggi, seperti pegawai bank, eksekutif perniagaan, dan doktor, pekerja asing dengan pendapatan rendah dan sederhana masih menjadi golongan majoriti pekerja asing.  

  

Menurut statistik pada Jun 2019 jumlah populasi di Singapura ialah 5.7 Juta orang, meningkat 1.2% dari tahun sebelumnya dengan peningkatan jumlah pekerja asing seramai 1.68 Juta orang yang merupakan bukan penduduk asal, merangkumi pemegang permit pekerja (41%), pembantu rumah asing (15%), dan lain-lain. Majoriti pekerja asing yang bekerja di Singapura datang dari Malaysia. 

  

Selain itu, terdapat juga warga asing dari Bangladesh, India, Thailand, Burma, Filipina, Sri Lanka, Pakistan, dan Republik Rakyat China. Peningkatan populasi penduduk tidak tetap ini disebabkan oleh bertambahnya pekerja asing yang datang menggunakan permit kerja, berikutan sektor pembinaan dan perkhidmatan yang berkembang. 

  

Pembantu rumah domestik juga tetap mendapat permintaan di Singapura, walaupun dalam waktu pandemik Covid-19 dengan terdapat kos tambahan untuk perubatan dan insuran. 

  

Pekerja Malaysia di Singapura 

 Sebelum pandemic Covid-19 bermula, kira-kira 400,000 warga Malaysia yang bekerja di Singapura, dan sekitar 100,000 individu berulang alik dari Johor ke Singapura setiap hari. Mereka yang berulang alik secara harian ini membuat pelbagai jenis pekerjaan, dari bawahan sehingga pertengahan dalam pelbagai sektor. 

  

Terdapat juga yang berkahwin dengan warga Singapura dan memilih untuk menetap di sana. Majoriti pekerja yang berulang alik setiap hari adalah bekerja kolar biru, yang membuat kerja-kerja manual dan bergaji harian. Antaranya pekerja kilang, pembinaan, restoran, perhotelan, perkhidmatan dan jualan, pencuci, pengawal keselamatan, dan lain-lain. 56% pekerja Malaysia di Singapura adalah berkemahiran rendah dan sederhana.  

  

Pekerja-pekerja berkemahiran sederhana boleh mendapat gaji bulanan yang memuaskan sehingga RM4,000 di Singapura berbanding RM1,200 di Malaysia. Mereka akan memulakan perjalanan memasuki Singapura pada awal pagi sebelum subuh, dan pulang semula pada waktu malam. Walaupun amat memenatkan, namun kebanyakan pekerja sudah terbiasa dengan rutin harian seperti ini untuk mencari sumber rezeki. 

  

Sebab utama ialah pendapatan yang diperolehi lebih tinggi dalam Dolar Singapura, iaitu sekitar tiga kali ganda, membolehkan mereka menyara keluarga dengan lebih baik.  

 

Kenapa Rakyat Malaysia Memilih Singapura 

Kejatuhan Nilai Ringgit Berbanding Matawang Utama  

 

Pada bulan Disember 2014, nilai ringgit mula jatuh dengan mendadak sebanyak 30%, dengan berada pada nilai RM3.45 untuk 1 USD. Ia berterusan menjadi RM3.71 per USD pada Februari 2015. Namun, dengan kejatuhan nilai matawang Ringgit isu utama adalah pasaran kerja Malaysia yang tidak begitu kukuh. 

  

Sejak krisis kewangan Asia 1997 rata-rata gaji pekerja di Malaysia tidak mampu bertahan, dengan situasi inflasi yang semakin meruncing. Pendapatan bulanan ramai penduduk tidak naik, dan menyebabkan ramai merasa semakin terhimpit dengan situasi ekonomi Malaysia yang sukar. Singapura adalah jiran yang paling dekat.dengan situasi ekonomi yang mampan dan pesat berkembang, ia memberi peluang besar kepada rakyat Malaysia. 

  

Peluang Yang Lebih Baik Untuk Pekerja di Singapura 

  

Pasaran kerja di Malaysia dipenuhi dengan jutaan warga asing, sama ada masuk dengan secara sah atau haram. Lambakkan pekerja menyebabkan tangga gaji semakin menurun, dan majikan tidak lagi mementingkan kualiti seperti menaik taraf mesin serta alatan di kilang-kilang. Pekerja tidak mempunyai peluang untuk melengkapkan kemahiran dalam arus industri terkini. 

  

Kebanyakan kilang di Malaysia masih jauh tertinggal dalam revolusi perindustrian keempat, malahan masih banyak kilang pembuatan di Malaysia, belum mampu mencapai tahap revolusi perindustrian ketiga. Oleh sebab terdapat ramai pekerja asing yang kurang berkemahiran di Malaysia, rakyat Malaysia sendiri memilih untuk ke Singapura, dan membuat kerja dalam sektor yang sama akan tetapi dengan pendapatan yang lebih banyak.  

  

Malaysia Tidak Mampu Menjamin Peluang Sebaik Singapura 

  

Manakala bagi pekerja berkemahiran dan professional yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi, tidak dinafikan mereka lebih banyak mencari peluang di luar negara. Hanya kira-kira satu perempat dari tenaga kerja di Malaysia adalah berkemahiran tinggi. Terdapat juga ketidaksamaan dalam jenis pekerjaan baru ditawarkan, dengan tahap pendidikan para graduan di Malaysia dalam situasi ekonomi ketika ini. 

  

Para majikan juga kebanyakannya menganggap graduan masih tidak cukup kualiti, dan hanya mengharap gaji yang tinggi, sehingga sukar mendapatkan pekerjaan sesuai. Isu yang perlu dilihat ialah ekonomi Malaysia tidak membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan, bagi graduan berpendidikan tinggi yang setaraf.  

  

Dengan kedudukan Singapura sebagai sebuah negara mengutamakan bidang penyelidikan, tentunya ramai golongan professional muda yang mempunyai tahap pendidikan tinggi, berminat bekerja di sana untuk mencari pengalaman yang lebih luas . 

  

Kesan Pandemik Covid-19 Kepada Pekerja Malaysia di Singapura 

  

Kerajaan Malaysia mula mengenakan sekatan perjalanan bermula 18 Mac 2020, yang memberi kesan kepada pekerja yang berulang alik ke Singapura. Ini menyebabkan ramai pekerja dari Malaysia yang membuat keputusan untuk tinggal sementara di Singapura, untuk meneruskan usaha mencari rezeki di sana.  

  

Namun sehingga bulan Jun 2020, kebanyakan pembinaan dan kilang-kilang di Singapura juga dihentikan operasi, dan menyebabkan pekerja yang tiada pekerjaan terpaksa hidup dengan wang simpanan yang sedikit. Pada 1 Jun 2020, Putrajaya mengumumkan individu yang pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin wajib dan membayar sendiri 50 peratus penginapan di hotel, dan ini adalah jumlah yang besar bagi kebanyakan pekerja dari Singapura untuk kembali ke Malaysia. 

  

Setelah sempadan Malaysia dan Singapura dibuka pada Ogos 2020, hanya kira-kira 50% pekerja dari Malaysia yang kembali ke Singapura kerana kebanyakan sektor perkhidmatan masih terkesan dengan wabak pandemik Covid-19. Restoran juga terkesan kerana ramai individu bekerja dari rumah dan ketiadaan pelancong.  

  

Sektor pembinaan juga telah banyak dihentikan dan tidak lagi memerlukan buruh binaan dari luar. Sektor pembuatan juga telah membuang kira-kira 34,200 pekerja asing sejak tahun lepas, walaupun permintaan barangan kesihatan meningkat. 

  

Terdapat pemilik kilang yang terpaksa bertukar kepada sistem automatik dan robotic, bagi menampung kekurangan pekerja di awal pandemik dan tidak lagi memerlukan tenaga kerja yang ramai. Kesimpulannya pandemik Covid-19 telah memberi impak kepada kedua-dua negara Malaysia dan Singapura.  

  

Walaupun Singapura berada di tahap negara maju, industri di sana juga terkesan dan memberi kesan kepada begitu ramai pekerja dari Malaysia. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga telah menyediakan satu program khas kepada pekerja yang berulang alik dari Malaysia ke Singapura, dan kira-kira 100,000 individu menjadi penerima vaksin fasa kedua, di bawah Program Imunisasi Covid -19 Kebangsaan. 

  

Namun perjalanan ulang-alik harian pekerja Malaysia di Singapura yang selesai menerima dua dos vaksin Covid-19, masih lagi ditangguhkan disebabkan jumlah kes yang tinggi.

Facebook Comments

Artikel Viral Menarik Yang Anda Belum Baca:

Kongsi Artikel Menarik Ini di:

Leave a Reply

Inline
Inline